Rabu, 14 Jun 2017

SUNGGUH DAHSYAT

Assalamualaikum w.m.b, Alhamdulillah atas kesempatan yang ada, Masih lagi pena ini mampu menutur sebaris dua madah untuk dikongsi, diteladani yang baik, disempadani yang tidak baik..

Seputar masa berlalu, membawa mindaku jauh mengimbau kenangan lama. 2 tahun yang lalu, waktu itu hanya bahagia memenuhi segenap jiwa. Tidak ku tahu harus mula di mana. apa yang dapat ku ungkapkan, aku sangat gembira dipertemukan dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang mempunyai niat dan impian yang sama menelusuri perjalanan panjang dari selatan Thailand menuju ke utaranya bagi melihat sendiri corak budaya masyarakat Orang Bukit. sekali dua pernah juga telingaku menangkap kisah mereka dituturkan. cuma itu sekadar cerita suara pencerita tidak mampu memberi kongsi rasa padaku.. sehinggalah rezeki datang, Allah mengizinkan aku untuk turut serta di dalam misi itu. Alangkah gembiranya saat itu.. 

Dan bermulalah permusafiran kami..



Masih ku ingat lagi, saat perjalanan waktu itu ada sebuah lagu yang agak baru ku terdengar, sedap suaranya.. bait liriknya juga penuh makna..sungguh dahsyat setanding judulnya.. ya,tajuk lagu itu "DAHSYAT" mengisahkan kasih seorang ibu kepada anak yang tiada tara, ditatang bagai minyak yang penuh. saat kecilnya tidak pernah sunyi, segenap ruang masa ibu sentiasa menemani..namun, apakah balasan yang perlu dilakukan oleh si anak apabila dewasa?

Dahsyat sungguh kasih ibu.. bukan hanya dengan hatinya tetapi kasih dengan nyawa dan apa sahaja yang dia ada. 2 hari perjalanan, kalau di luar mendung, di dalam van hati menangis, jika di luar panas terik di dalam van juga tetap menangis.. penangan lagu "DAHSYAT" meninggalkan kesan yang dalam buat kami dan sahabat-sahabat jaulah kali itu.

Dan kisahnya malam ini..aku cuba melelapkan mata, tapi akalku menerawang cuba membelek cerita lama, kenangan yang ku simpan rapi dalm memori, kerana perjalanan yang bukan hanya membawa jasad tapi hati yang tulus..bertunjangkan kalimah tauhid.. dan DIA mendengar doa-doa kami, seorang ibu dari suku kaum "Mong" akhirnya memeluk Islam. Ku ajarkan kalimah syahadah seringkas mungkin sebagai penyaksian yang kita adalah saudara seislam.. pengalaman DAHSYAT bertemu insan yang selayaknya dipanggil ibu itu bagai parut yang dipahat indah di hati. Kami tinggalkan lambaian dan airmata semoga ada rezeki untuk kita bersua lagi..sungguh dahsyat pengalaman itu, mungkin pada lain ia biasa namun bagiku itu adalah istimewa dan sebuah anugerah.. Terima kasih ya Allah atas kesempatan yang engkau pinjamkan.. walaupun diriku penuh noda, Namun kau tidak membiarkan aku hanyut tanpa nakhoda,, 

Sekian saja perkongsian rasa, seputar masa membawa pengalaman bermakna buat hidup insan biasa namun berusaha menjadi luar dari biasa ini.. ya! luar biasa..